" PELESTARIAN RUMAH API FORT CORNWALLIS "
PENGENALAN PROJEK
Projek yang kami jalankan ini merupakan salah satu keperluan kursus PGT 224 Kaedah Mengajar Sejarah 1. Projek ini diberi nama “ Pelestarian Banguna Bersejarah di Malaysia ”. Projek ini memerlukan setiap kumpulan menjalankan aktiviti pelestarian bangunan bersejarah yang telah berusia lebih dari 100 tahun. Setiap kumpulan mesti mempunyai ahli maksimum lima orang dan minimum tiga orang. Bagi memenuhi keperluan kursus ini, setiap kumpulan diperlukan untuk mencari sebuah bangunan bersejarah di Malaysia dan memikirkan cara yang terbaik untuk melestarikan bangunan tersebut. Pemilihan bangunan bersejarah oleh setiap kumpulan perlu mendapat persetujuan daripada pensyarah kursus ini iaitu Dr. Siti Hawa binti Ahmad atau tutor masing-masing. Projek ini perlu diselesaikan sebelum minggu ke-11 bersama-sama dengan laporan projek bagi setiap kumpulan. Pada minggu ke-11, setiap kumpulan perlu menghantar laporan projek dan membentangkan projek yang mereka jalankan kepada kumpulan tutorial masing-masing.
Kumpulan kami yang terdiri daripada Faridzul Helmi bin Muniran, Azizul bin Mohd Gazi, Mohd Sani bin Zakaria, Siti Fatimah Noor binti Isnin dan Siti Shahidah binti Azman telah memilih Rumah Api Fort Cornwallis yang terletak di Padang Kota, Pulau Pinang. Kami berminat dengan bangunan bersejarah ini kerana kami melihat Rumah Api Fort Cornwallis kurang dikenali dan kami ingin melestarikan bangunan bersejarah ini agar ia terpelihara sebagai warisan sejarah di Pulau Pinang. Atas faktor itulah kumpulan kami terpanggil untuk menjalankan projek di Rumah Api Fort Cornwallis. Selain itu, rumah api ini juga memenuhi kriteria bagi projek ini. Rumah api ini telah berusia lebih dari 100 tahun. justeru, setelah mendapat kebenaran dari pihak pengurusan rumahapi, kumpulan kami menjalankan projek pelestarian Rumah Api Fort Cornwallis pada 9 Ogos 2008
OBJEKTIF PROJEK
Projek pelestarian bangunan bersejarah yang berusia lebih daripada 100 tahun umumnya mempunyai objektif atau matlamatnya yang tersendiri. Objektif projek ini dapat dihuraikan dalam dua aspek yang berbeza iaitu secara tersurat dan secara tersirat.
OBJEKTIF TERSURAT
Objektif tersurat merujuk objektif projek yang lebih bersifat luaran di mana melalui projek ini, pelajar kursus ini dapat menyingkap kembali bangunan-bangunan bersejarah yang sekian lama terdapat di Malaysia. Bak kata pepatah, ‘tak kenal maka tak cinta’ . Di samping mengetahui bangunan bersejarah yang usianya melebihi 100 tahun, pelajar atau kumpulan yang menjalankan projek ini dapat memikirkan idea-idea yang bernas dalam melestarikan bangunan bersejarah tersebut. Hal ini tidak terkecuali kepada kumpulan kami. Melalui projek ini, kami sedar bahawa terdapat banyak bangunan bersejarah di Malaysia yang usianya jauh lebih tua dari usia kami sendiri. Sebelum ini, kami kurang inisiatif untuk mengkaji bangunan-banguna bersejarah yang terdapat di Malaysia apatah lagi untuk menyumbang tenaga di tempat tersebut. Jadi, di samping kami menjalankan aktiviti pelestarian di Rumah Api Fort Cornwallis, kami juga memperoleh maklumat yang berguna tentang rumahapi ini di samping dapat menyumbangkan tenaga dalam melestarikan bangunan warisan ini.
OBJEKTIF TERSIRAT
Sebenarnya, apabila kumpulan kami menjalankan aktiviti pelestarian di Rumah Api Fort Cornwallis, kami menyedari bahawa banyak bangunan bersejarah di Malaysia ini tidak diberi penjagaan yang sempurna. Dari sini, timbul perasaan untuk menjaga dan memelihara bangunan ini. Selain itu, terlintas perasaan patriotik dalam diri kami. Perasaan di mana kami tidak mahu negara yang kami cintai ini dijajah semula dan kami berhasrat untuk menjaga tanah air kami dan juga memberi sumbangan dari semua segi. Justeru, projek ini bertujuan memupuk semangat cintakan negara dan tanah air serta bersedia menyumbang apa yang terdaya untuk mempertahankan negara.
SEJARAH PEMBINAAN RUMAH API KOTA CORNWALLIS
Rumah api ialah menara atau bangunan tinggi bagi membantu ahli pelayaran, juru mudi atau nakhoda kapal di laut untuk belayar dan mendarat dengan selamat. Menara ini dilengkapi dengan sistem lampu atau cahaya api. Biasanya rumah api dibina di kawasan tebing tinggi yang strategik bagi memudahkan kapal dagang datang berlabuh pada waktu malam hari. Rumah api juga boleh membantu menandakan kawasan berbahaya dan dalam pandu arah udara. Kini sistem pelayaran disokong oleh sistem satelit di angkasa lepas.
Sekitar tahun 1882 Rumah Api Fort Cornwallis telah dibina di Pulau Pinang pada kedudukan 5° 25’U 100° 21’T. Sewaktu jajahan British, ia dikenali sebagai Fort Point Lighthouse. Menurut Rekod Blue Book 1938, Rumah Api Fort Cornwallis ini pernah diubah suai pada tahun 1925. Seaktu pengubahsuaian pada tahun 1914 Fort Point Lighthouse telah ditukarkan namyanya kepada Penang Harbour Lighthouse. Kos pembinaan yang tercatat dalam Blue Book 1914 adalah sebanyak £10,224. Kini Fort Point dikenali sebagai Rumah Api Fort Cornwallis. Berbeza dengan rumah api yang lain sebelum in, Fort Cornwallis memiliki menara yang diperbuat daripada kerangkaan besi berwarna putih sehingga 21 meter. Jarak penglihatan pula mengjangkau sehingga 16 batu nautika. Rumah Api Fort Cornwallis terletak berhampiran dengan Padang Kota lama di bandar Georgetown.
FUNGSI RUMAH API PORT CORNWALLIS
Rumah Api yang dibina oleh pihak penjajah di negara kita bukan bertujuan untuk tujuan perhiasan. Tetapi pembinaan rumah api ini mempunyai tujuannya yang tertentu. Seperti yang umum sedia maklum, negeri pulau mutiara iaitu Pulau Pinang ini merupakan negeri yang mula-mula menjadi petempatan pihak penjajah, pada abad ke-16 negeri pulau pinang merupakan antara negeri taklukan atau negeri jajahan penjajah pada ketika itu. Justeru, rumah api mempunyai fungsinya yang tersendiri.
BERFUNGSI SEBAGAI PENANDA KEPADA KAPAL
Pada zaman dahulu, rumah api berfungsi sebagai penanda kepada kapal-kapal yang datang ke perairan semenanjung tanah melayu ketika itu. Seperti yang umum sedia maklum, sepanjang persisiran pantai pada zaman dahulu telah membangun menjadi pusat perdagangan. Oleh sebab itu, pada ketika itu banyak kapal-kapal dagang yang datang dari negara lain dengan tujuan untuk menjalankan aktiviti berdagang. Ketika itu juga dikatakan kepulauan tanah melayu merupakan pusat maritim dan entrepot yang terkemuka. Justeru, rumahapi didirikan untuk dijadikan petanda kepada kapal-kapal berlabuh. Kapal-kapal yang tiba di kepulauan melayu akan melihat rumah api sebagai penanda untuk mereka berlabuh di perlabuhan.
BERFUNGSI SEBAGAI PENYEBAR MAKLUMAT
Menurut pihak pengurusan rumah api, pada abad ke-16 rumah api ini selain berfungsi sebagai penanda untuk kapal-kapal yang datang berlabuh, rumah api ini juga turut berfungsi sebagai penyebar maklumat-maklumat penting. Sebagai contoh, pihak Portugis pada zaman dahulu menggunakan rumahapi untuk menyampaikan maklumat tentang penyakit yang melanda kawasan sekekliling rumahapi tersebut. Antara penyakit tersebut ialah penyakit malaria. Jadi, penjaga rumah api ketika itu akan menggunakan rumah api untuk memberi isyarat bahawa terdapat individu yang mendapat sakit malaria kepada gabenor general yang bertempat di Bukit Bendera ketika itu. Pembantu gabenor general yang sentiasa mengawasi rumah api dengan menggunkan teropongnya akan mendapat maklumat yang mengenai penyakit tersebut melalui isyarat dari rumah api lalu melaporkan kepada gabenor general. Jadi, rumahapi pada ketika itu memainkan fungsi dan peranan yang penting dalam pentadbiran zaman penjajahan di Malaysia
PELESTARIAN YANG DIJALANKAN
Lestari menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga merujuk kepada menjadikan sesuatu lebih baik serta memelihara agar terpelihara [ Kamus Dewan, 2003 : 803 ]. Pelestarian membawa makna usaha yang berterusan dalam menjadikan sesuatu kawasan atau tempat itu ke arah lebih baik dan maju dan memeliharanya daripada musnah [ Kamus Dewan, 2003 : 803 ]. Menjurus kepada projek yang kumpulan kami jalankan, iaitu usaha melestarian bangunan bersejarah ( Rumah Api Fort Cornwallis ), kami telah merangka beberapa aktiviti atau rancangan untuk melestarikan bangunan bersejarah pilihan kumpulan kami ini. Umumnya, kami telah bersetuju untuk menjalankan empat aktiviti utama dalam proses melestarikan Rumah Api Fort Cornwallis ini iaitu menjalankan aktiviti gotong-royong, aktiviti membersihkan ruangan kabin di rumah api tersebut, menanam pokok-pokok di kawasan yang disasarkan dan yang terakhir ialah mempromosikan rumah api tersebut kepada pelancong luar negara dan pelancong tempatan.
MENJALANKAN AKTIVITI GOTONG ROYONG
Aktiviti ini dipilih kerana pada pandangan kumpulan kami, langkah pertama sebelum melestarikan sesuatu kawasan ialah kawasan tersebut perlulah bersih dengan erti kata bebas daripada sebarang sampah sarap yang mampu menjejaskan pemandangan serta keindahan rumah api ini. Justeru, setelah berbincang dan mendapat kebenaran dari pihak pengurusan rumah api tersebut, kami berlima mula menjalankan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekeliling rumah api. Kami amat berterima kasih kepada pihak pengurusan rumah api kerana meminjamkam kami kelengkapan alatan seperti penyapu lidi, penyodok, getah paip dan tong sampah. Kami juga turut mendengar penjelasan serta arahan dari ketua rumah api tersebut iaitu En.Mohd Safuan. Setelah membahagikan tugas masing-masing, kami memulakan aktiviti membersihkan kawasan sekeliling rumah api tersebut. Antara aktiviti yang dijalankan ialah mengutip sampah, mengelap barangan lama seperti lampu dan enjin lama tinggalan penjajah yang tidak lagi digunakan tetapi mempunyai nilai estetikanya yang tersendiri.
MEMBERSIHKAN RUANGAN KABIN RUMAH API
Aktiviti ini merupakan antara aktiviti yang kami nanti-nantikan. Mana tidaknya, melalui aktiviti membersihkan ruang kabin rumahapi ini, kami berpeluang untuk menaiki rumah api tersebut hingga ke ruangan kabin di tingkat atas sekali. Ini merupakan pengalaman baru bagi setiap dari ahli kumpulan kami. Selain membersihkan ruang kabin tersebut, berada di tingkat atas rumahapi menguji ketahan mental dan stamina serta keupayaan melawan ketakutan dalaman serta mencuba untuk mencuba untuk mengatasi kelemahan diri. Saujana mata memandang. Begitulah pengalaman kami melihat pemandangan dari ruang kabin rumah api yang kira-kira setinggi tujuh tingkat itu. Tersa angin memukul wajah kami dan kami terpesona dengan kejadian tuhan. Namun begitu, kami meneruskan tujuan asal kami ke rumah api iaitu ingin melestariakan rumah api tersebut sebaik mungkin. Di runag kabin, selain membersihkan lantai, kami juga membersihkan lampu atau spotlight dan cermin kabin tersebut dengan menggunakan barangan kitar semula iatu surat khabar lama.
MENANAM POKOK DI KAWASAN SASARAN
Sebelum kami menjalankan projek ini dirumahapi, kami telah meminta pihak pengurusan rumah api tersebut menyediakan kawasan untuk kami menjalankan aktiviti menanam pokok. Kami memilih aktiviti ini kerana selaras dengan keadaan dunia kita yang semakin memanas dan pencemaran merata tempat. Justeru, kami mengambil inisiatif untuk menanam tanaman tutup bumi sebagai salah satu sumbangan kami dalam memelihara dan memulihara bumi dan sekitar kawasan Rumah Api Fort Cornwallis ini. Dlam proses menjayakan aktiviti ketiga ini, kami telah menyediakan pokok yang akan ditanam. Dengan bantuan ketua rumahapi iaitu En.Mohd Safuan, kami menanam seberapa banyak pokok di kawasan sasaran iaitu di sekitar rumah api tersebut. Selepas menanam pokok-pokok tersebut, kami menyiram pokok tersebut agar ia akan tumbuh dengan segar dan terpelihara dengan sebaiknya. Walaupun kawasan rumah api itu tidak berskala besar, tetapi jika dirancang landskap yang sesuai, kami yakin ia mampu menarik pelancong untuk melawat Rumah Api Fort Cornwallis ini.
MEMPROMOSIKAN RUMAH API KOTA CORNWALLIS
Aktiviti terakhir ini menjadi pilihan kerana sekiranya bangunan bersejarah itu cantik dalam erti kata terpelihara sahaja tetapi tidak dipromosikan dengan cara yang sesuai juga tidak mungkin kami berjaya untuk melastarikan rumah api ini. Justeru, kami bercadang untuk mempromosikan Rumahapi Kota Cornwallis ini dengan cara yang bersesuaian kepada pelancong bukan sahaja dari luar negara tetapi para pelncong tempatan juga. Kebetulan sewaktu kami selesai menanam pokok di kawasan sekitar rumah api, terdapat beberapa orang pelancong dari negara Belanda yang datang untuk melawat Rumah Api Fort Cornwallis. Jadi, kami mengambil peluang keemasan ini untuk mempromosikan Rumah Api Fort Cornwallis ini. Antara usaha kami mempromosikan rumah api tersebut termasuklah mengedar maklumat tentang rumah api atau Brochures serta memberi penerangan secara lisan mengenai rumah api ini dari segi sejarahnya dan menjawab pertanyaan spontan dari para pelancong mengenai Rumah Api Fort Cornwallis. Kami juga bercadang untuk mewujudkan satu blog mengenai Rumah Api Fort Cornwallis ini sebagai salah satu usaha untuk mempromosikan rumah api yang berusia kira-kira 100 tahun ini.
PELESTARIAN YANG DICADANGKAN
Usaha melestarikan rumahapi tidak hanya terhenti disini sahaja. Sewaktu kami menjalankan aktiviti pelestarian Rumah Api Fort Cornwallis, kami juga telah mencadangkan beberapa lagi langkah pelestarian rumah api ini dalam jangka masa yang panjang. Hal ini kerana kumpulan kami melihat aktiviti yang kami jalankan dalam usaha melestarikan Rumah Api Fort Cornwallis ini merupakan startegi pelestarian dalam jangka masa pendek. Justeru, kumpulan kami melihat seharusnya strategi melestarikan rumah api ini perlu diteruskan dalam jangka masa yang lebih lama iaitu dalam erti kata lain ianya perlulah dijalankan secara konsistan dan berterusan. Jadi, dari situ maka timbullah beberapa cadangan untuk melestarikan Rumah Api Fort Cornwallis bagi jangka masa panjang.
MEMBINA MUZIUM MINI DI RUMAH API
Cadangan ini timbul apabila kami menjalankan aktiviti di rumah api dan terlihat akan aksesori kapal atau barangan antik yang mempunyai nilai sejarah yang terdapat di rumahapi tetapi tidak dijaga dengan cara yang sepatutnya. Justeru, kami mencadangkan agar dibina sebuah muzium mini bagi menempatkan barangan-barangan antik ini seperti enjin-enjin kapal lama, spotlight serta barangan antik yang lain untuk dijadikan tontonan para pelancong ke Rumah Api Fort Cornwallis. Jadi, sambil para pelancong datang melawat rumahapi Kota Cornwallis, mereka juga berkesempatan untuk melihat dengan mata mereka sendiri barangan-barangan tinggalan para penjajah seperti enjin kapal lama dan pelbagai lagi barangan antik yang tidak dikeluarkan lagi pada masa kini. Hal ini ukan sahaja dapat menarik minat pelancong asing di samping mereka memperoleh pengetahuan sejarah yang berguna.
MENERUSKAN PEMBUKAAN RUMAHAPI UNTUK LAWATAN
Seperti yang umum sedia maklum, terdapat bangunan bersejarah yang tidak dibuka untuk lawatan awam. Hal ini akan membantutkan usaha masyarakat untuk mengenali bangunan bersejarah apatah lagi untuk menghayati peninggalan warisan penjajahan ini. Justeru, kumpulan kami berpendapat salah satu usaha jangka panjang untuk melestarikan Rumah Api Fort Cornwallis ialah dengan meneruskan pembukaan rumah api ini untuk lawatan sejarah dan kepada lawatan umum. Situasi ini akan menggalakan kedatangan para pelancong tempatan dan juga luar negara. Hal ini juga akan meningkatkan ekonomi negara di mana wang negara asing mengalir masuk dalam negara melalui kedatangan para pelancong ke negara Malaysia seterusnya menjana perbelanjaan negara dengan lebih efektif. Jadi kami memandang positif kepada penerusan pembukaan rumahapi ini kepada masyarakat
MEMELIHARA DAN MEMULIHARA RUMAH API
Selain membersihkan kawasan sekeliling bagi mencantikkan persekitaran rumah api, keadaan bangunan rumahapi tersebut juga perlu dipelihara dan dipulihara dengan cara yang betul dan secara konsistan. Hal ini kerana, apabila bangunan tinggalan sejarah ini tidak dijaga dengan baik, maka hasil atau nilai estetika nagunan tersebut akan pudar atau terus lenyap ditelan dek zaman tanpa kita sedari. Adakah ini suatu kerugian? Justeru, penting bagi pihak yang berwajib untuk mengambil inisiatif untuk memelihara dan memulihara bangunan bersejarah seperti rumah api ini. Antara alternatif yang boleh dijalankan ialah mengeluarkan peruntukan sejumlah perbelanjaan khas setiap tahun oleh pihak kerajaan negeri bagi menampung kerja-kerja memelihara seterusnya memulihara Rumah Api Fort Cornwallis ini. Selain itu, pihak yang bertanggungjawab juga boleh mewujudkan sistem tiket untuk lawatan ke rumah api. Hasil penjualan tiket ini boleh dijadikan modal untuk memelihara bangunan rumah api agar ia sentiasa berkeadaan baik dan terjaga
MEWUJUDKAN MEDIUM YANG SESUAI UNTUK MEMPROMOSIKAN RUMAH API
Kumpulan kami sependapat bahawa usaha untuk mempromosikan Rumah Api Fort Cornwallis ini masih belum mencukupi dan boleh diperbaiki lagi. Hal ini kerana, jika diteliti pengenalan rumahapi sebagai tempat bersejarah masih lagi kurang dan lemah. Justeru, selaras dengan perkembangan teknologi maklumat dan dengan kemudahan internet yang mampu menghubungkan seluruh dunia pada bila-bila dalam masa yang singkat, kami mencadangkan supaya diwujudkan suatu medium khas di internet yang berfungsi untuk mempromosikan Rumah Api Fort Cornwallis di mata dunia. Medium ini berfungsi untuk mempromosikan rumah api ini agar dikenali seterusnya meransang para penduduk dunia agar datang ke Malaysia untuk melawat Rumah Api Fort Cornwallis. Cadangan kumpulan kami ialah mewujudkan laman sesawang atau blog khas bagi mempromosikan Rumah Api Fort Cornwallis. Di dalam blog ini boleh dimasukkan maklumat yang menyeluruh tentang sejarah rumah api, fungsinya serta keistimewaan rumah api sehingga diiktiraf sebagai warisan sejarah di Malaysia. Selain itu, untuk lebih efektif, di dalam laman sesawang tersebut boleh juga dimasukkan gambar rumah api serta gambar-gambar kawasan sekelilingnya yang menarik. Hal ini seterusnya dapat menarik minat individu yang melayari laman sesawang ini akan tertarik untuk melawat Rumah Api Fort Cornwallis ini.
KESIMPULAN
Pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah yang menjadi warisan negara adalah penting dan menjadi tanggungjawab generasi muda dan generasi semua pihak. Peranan pelbagai pihak diperlukan dalam menggembling usaha memelihara warisan sejarah yang terdapat di negara kita agar ia tidak luput ditelan zaman. Projek pelestarian bangunan bersejarah ini sedikit sebanyak membuka mata generasi muda bahawa terdapat banyak bangunan bersejarah yang perlu dipelihara dan dipulihara. Dengan aktiviti-aktiviti pelestarian yang dijalankan, diharapkan sedikit sebanyak menyumbang ke arah pemeliharaan warisan sejarah.
Selain itu, kami juga mencadangkan agar aktiviti pelestarian ini tidak terhenti pada bangunan atau warisan sejarah semata-mata. Aktiviti pelestarian ini harus dikembangkan pada kawasan-kawasan yang mempunyai nilai estetikanya yang tersendiri seperti di kawasan universiti dan sebagainya. Pelestarian di tempat sebegini secara tidak langsung akan dapat membuka mata masyarakat tempatan tentang kepentingan pemeliharaan kawasan sekeliling dan akan menyuntik penglibatan semua lapisan masyarakat di negara ini.
Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan projek kumpulan kami ini. sumbangan anda amat kami hargai.
" PELESTARIAN MENJANA KESEJAHTERAAN WARISAN "
Tiada ulasan:
Catat Ulasan